Selasa, 20 Ogos 2013

Menifesto Pasca Ramadan

Hangat bahang syawal masih terasa. Ramadan berlalu sayonara pergi. Kita semua ibarat sang perindu yang ditinggal pergi oleh kekasih. Terkapai-kapai seperti hilang pegangan. Maklumlah, sebulan Ramadan membimbing diri. Kini, ditinggal seorang diri untuk membimbing diri.

Apakah Janji Terpenuhi?
Banyak jiwa yang berjanji pada diri sendiri untuk terus menjadi jiwa yang bertakwa meski Ramadan telah berlalu. Itulah janji-janji yang ditabur pada diri. Namun apakah janji manis itu terpenuhi?

Sejauh mana kekuatan jiwa kita dalam melaksanakan janji yang kita laungkan sepanjang Ramadan?
Masih terasakah hangatnya kebersamaan saat mengejarkan solat sunat terawih. Masih fasihkah bibir dan lidah dalam melantunkan ayat suci al-Quran. Masih zikrullah menjadi kebiasaan?Apakah keberkahan bertahajud di malam lailatulqadar masih terasa manisnya?

Semua itu adalah persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri.

Berusaha Seiring Janji
Layaknya seorang pemimpin yang menabur janji manis kepada rakyatnya maka janji itu perlu diiringi dengan usaha.

Pernah anda lihat seseorang yang sering mungkir janji? Mudah memberi harapan dan janji namun tidak dipenuhi?

Janji kita untuk menjadi mukmin yang bertaqwa perlulah dipenuhi. Senarai misi yang akan dilaksanakan pasca Ramadan perlu dilaksanakan. Jika tidak kita akan terkapai-kapai dalam lautan keseronokan Syawal yang tak berkesudahan. Tak salah meraikan kemenangan namun berpada-padalah.


Bekal yang Berpanjangan

Sebenarnya, bekal yang kita perolehi sepanjang Ramadan sangat cukup untuk menampung perjalanan kita sepanjang sebelas bulan kehadapan. Masakan tidak, ganjaran seribu bulan bukan calang-calang tawaran.

Allah Maha Bijaksana. Diciptanya sebuah bulan yang mampu mensucikan diri hamba-hambaNya. Kerana Dia tahu, hambaNya memerlukan tambahan semangat dan tenaga dalam menghadapi ujian dunia yang penuh pancaroba.

Bulan inilah bulan yang digunakan untuk kita mengutip bekal yang berpanjangan. Tilawah, terawih, tahajud yang dilakukan adalah pengecas tenaga yang diharapkan cukup untuk kita menampung beka bagi sebelas bulan kedepan.

Jangan pula dilupakan, pelaksanaan manifesto pasca Ramadan. Istiqomah dalam menjadi hambaNya yang bertakwa dan berlumba-lumba melaksanakan kebaikan. Menisfesto ini tidak akan terlaksana jika kita bersendirian, ajaklah keluarga, saudara, sahabat dan kenala ndalam melaksanakanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan