Rabu, 31 Julai 2013

Lambaian Terakhir Ramadan

RAMADAN hampir berlalu. Hanya tinggal beberapa hari lagi bulan istimewa ini akan berlalu pergi. Keistimewaan bulan Ramadan tidak mungkin terbanding dengan bulan-bulan yang lain.


Pada bulan inilah umat Islam menjalankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t. dengan penuh penghayatan. Allah s.w.t. turut menyebutkan bahawa ibadah puasa adalah ibadah yang khusus untuk Allah s.w.t. Setiap puasa yang dilaksanakan hari demi hari hanya Allah s.a.w. sahaja yang akan menilai.

Keistimewaan ini diikuti pula dengan ibadah solat terawih yang ada hanya di bulan Ramadan. Masjid-masjid pada ketika ini meriah dengan kehadirah jemaah yang melimpah ruah. Tradisi menyediakan moreh setelah bertarawih mendorong muda-mudi untuk hadir menyemarakkan lagi malam-malam Ramadan di masjid. Aktiviti melepak di mamak berpindah ke masjid sepanjang bulan Ramadan.

Pada bulan ini juga aktiviti tadarus semarak dimana-mana. Bahkan semakin ramai yang memegang al-Quran mashaf atau elektronik tak kira masa dan tempat. Kesedaran untuk mentadabbur ayat suci sangat besar pada bulan ini. Pelbagai tips dikeluarkan agar setiap pembaca al-quran mampu mengkhatamkan al-Quran dalam masa sebulan.

Hubungan silaturahim juga semakin terjalin dengan erat. Sanak suadara, jiran tetangga saling kunjung mengunjung untuk berbuka bersama. Pelbagai hidangan penuh warna-warni disediakan. Bagi yang tinggal berdekatan, saling bertukar juadah adalah aktiviti isitimewa di bulan Ramadan. Semakin terhubung kasih sayang di antara satu sama lain.


Kemuncak Ramadan adalah apabila masuk ke fasa 10 malam terakhir. Saat ini, ada dua perasaan saling bercampur-aduk di dalam hati. Perasaan sedih kerana Ramadan bulan istimewa akan pergi dan perasaan gembira menyambut bulan Syawal, bulan kemenangan.

Menyambut 10 malam terakhir ini aktiviti di masjid semakin bertambah. Tadarus di pertingkat di tambah pula dengan qiamulaail dan sahur berama-ramai.

Tak terkira indahnya bulan ini. Ia seperti sebuah sekolah yang menyediakan kursus memperbaiki diri selama sebulan untuk menghadapi kehidupan realiti 11 bulan mendatang.


Sedikit sebanyak, Ramadan tetap memberi kesan besar dalam kehidupan seorang Muslim atau Muslimah. Ramai juga yang meilih untuk berhijrah menjadi peribadi yang lebih Mukmin pada bulan ini. Bulan inilah pintu rahmat dan keampunan di buka seluas-luasnya. Pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Masih belum terlambat untuk kita melakukan pecutan terakhir dalam mengejar ganjaran belipat-lipat kali ganda sebelum musuh utama manusia iaitu syaitan kembali bergambung dengan nafsu untuk menumpaskan kita! 

Wallahua’lam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan